Friday, 20 May 2011

:aku, kau dan dia:

"selalunya, orang yang minat kita adalah orang yang kita kurang minat dan orang yang kita minat adalah orang yang langsung tak pandang kita."

terbaca ayat di atas di blog seseorang. penulisan dia yang selalunya memang mengagumkan aku. dan ya, aku bersetuju dengan kata-kata di atas kerana aku pernah melaluinya. dan aku kira aku masih sedang melaluinya. 

orang yang minat kita adalah orang yang kita kurang minat...

dalam kamus hidup aku pula, orang yang minat aku selalunya aku langsung tidak berminat. walau apa cara sekalipun yang dia tunjukkan bahawa dia sukakan aku malah walau bagaimana romantik atau baik sekalipun ayat yang diberikan, aku tetap tidak berminat. malah aku merasa sangat rimas. sungguh... aku sendiri tidak tahu mengapa... boleh dikira rasanya berapa banyak sahaja lelaki yang minat aku, aku terima perasaannya. dan tidak terkira rasanya, berapa banyak lelaki yang minat aku, sudah aku lukakan. maaf untuk itu... aku memang tidak boleh untuk memaksa hati aku ini.

orang yang kita minat adalah orang yang langsung tidak pandang kita...

perkara yang selalu sahaja terjadi pada diri aku. sampailah suatu masa, aku sedar aku bukan siapa-siapa yang layak untuk sukakan seseorang...

pernah sewaktu zaman persekolahan dulu... masa aku baru sahaja menjejakkan kaki ke sekolah menengah, aku telah terminat pada seorang murid lelaki yang sekelas dengan aku. aku tak tahu apa yang ada pada dia yang membuatkan aku sukakan dia. aku cuma suka. al-maklumlah masa tu umur baru setahun jagung. apalah yang aku tahu sangat tentang hati dan perasaan. dan ya, dia sangat comel dan kacak? aku? cuma perempuan biasa yang tak punya apa-apa. masakan dia mahu memandang perempuan seperti aku? tapi saat bertemu dengan dia di saat akhir dia bersekolah di situ merupakan memori yang takkan aku lupakan sampai bila-bila. masih teringat gambar terakhir aku dengan dia. dan sehingga sekarang nama penuh dia masih tersemat dalam kepala aku. di manakah dia sekarang agaknya? bagaimanakah kehidupan dia? sudah berkahwin dan punya cahaya matakah? salah satu doa aku, semoga aku diberikan kesempatan untuk masih bertemu dengan dia walaupun sudah bertahun-tahun lamanya aku dan dia terpisah.

ini pula kisah sewaktu aku menyambung pengajian aku di tingkatan enam. majlis suai kenal pada awal pengajian telah menemukan aku dengan dia apabila aku telah dipanggil oleh dia untuk didenda. kenapa? aku sendiri kurang pasti. yang pasti, saat aku mula terpandang wajah dia, aku terjatuh suka pada dia. aku suka tengok mata dia. terang dan bersih... paling membuatkan aku tak keruan adalah bila jantung aku akan berdegup kencang bila masa sahaja dia berada berdekatan dengan aku walaupun aku tidak nampak pun kelibat dia sebenarnya. aku cuma tahu, bila jantung aku mula tak keruan, itu tandanya dia berada berdekatan dan mata aku akan mula melilau mencari kelibat dia. dan memang, dia ada....

tapi sayang... dia sukakan kawan sekelas aku. dan itu membuatkan aku sedih... teramat-amat sedih. rasa sakit itu sama seperti rasa sakitnya ketika putus cinta. ah, dah nama pun bertepuk sebelah tangan. pastilah ianya menyakitkan... pernah ke bila cinta tidak berbalas itu membahagiakan? bergantung pada tuan empunya diri mungkin... tapi walaupun aku tahu dia sukakan perempuan lain, tapi kenapa jantung aku tetap jadi tak keruan apabila dia ada dekat? menyeksakan... tapi tempoh untuk aku bersama dengan dia juga tidak lama apabila aku akhirnya terpaksa berhenti dari tingkatan enam bawah demi menyambung pengajian aku di Politeknik. sampai sekarang, aku tidak tahu perkhabaran dia. ada juga bertanyakan pada kawan-kawan tapi mereka juga kurang pasti.

perasaan ni kadang-kadang sangat rumit untuk dimengertikan. bila difikir-fikirkan balik, rasanya aku belum pernah betul-betul merasa jatuh cinta. bagaimana rasanya ya? ya, aku telah berkapel dengan ramai lelaki sebelum ini tapi bercinta? 

sampai ke saat sekarang ni, aku masih mencari dan menunggu cinta itu. berkapel? sudahlah. aku malas untuk itu. penat dan melelahkan. biar sahaja masa yang menentukan semuanya.... manusiakan sememangnya diciptakan berpasang-pasangan. cuma lambat atau cepat sahaja bukan?

Nota kecil si gadis : akan berpergian selama beberapa hari. ada jemputan kahwin seorang rakan sewaktu di politeknik dulu. oleh itu, blog ini juga akan kosong tanpa sebarang penulisan selama beberapa hari. haha... nota kecil sepertinya ada saja insan yang sudi untuk membaca penulisan merapu aku disini... ketawa~

2 comments:

Penulis Bogel (the naked writer) said...

kau terlalu mudah jatuh cinta...itu cinta nafsu, hanya mengagumi fizikal...

^ai-mie : 아이-미^ said...

dulu... mungkin...